Aidil Sharin Sahak vs Ong Kim Swee
KUALA LUMPUR: Aidil Sharin Sahak terus memikul bebanan besar selepas diumumkan sebagai ketua jurulatih baharu Kuching City, Rabu lalu.Ia selepas pengendali dari Singapura itu akan memulakan tugas pertama bersama The Cats menentang Sabah dalam aksi sulung Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, malam esok.
Berdasarkan pengalaman, Aidil boleh dikatakan tidak asing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) selepas pernah mengemudi Kedah dari 2019 hingga 2022.
Pencapaian terbaik Aidil bersama Sang Kenari adalah memenangi Piala FA 2019 sebelum dia berhijrah ke Liga Indonesia bersama kelab Persikabo 1973.
Namun, adakah pengendali berusia 46 tahun itu mampu untuk memacu Kuching City keluar daripada masalah prestasi apabila menghuni tangga kedua tercorot Liga Super ketika ini.
Apa yang pasti, bukan satu tugas mudah untuknya membawa perubahan besar buat skuad itu dalam tempoh singkat dengan banyak kerja rumah yang perlu dilakukan.
Berdepan Sabah yang berada dalam kelompok lima teratas liga, percaturan Aidil bakal menjadi tumpuan utama sama ada dia mampu untuk menyaingi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee atau sebaliknya. Rekod pertemuan itu tidak memihak kepada Aidil dan kali ini tampil semua dalam Liga M dengan membimbing Kuching City yang dianggap skuad lebih kerdil, Aidil boleh dikatakan memerlukan sentuhan ajaib untuk memerangkap skuad Kim Swee.
Malah, rekod pertemuan Kuching City dan Sabah musim ini juga dilihat lebih memihak kepada anak buah Kim Swee yang memenangi kedua-dua aksi dalam saingan Liga Super.
Sementara itu, satu lagi aksi Piala Malaysia akan menemukan Kelantan United dan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammad IV.
Peluang seimbang dimiliki Kelantan United dan Negeri Sembilan dengan kedua-dua pasukan itu masih mencari rentak terbaik mereka dalam saingan Liga M musim ini.
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola