Taikun Amerika takluk EPL

Di tengah padang hanya 33.4 peratus adalah pemain berbangsa Inggeris manakala hanya enam pengurus berbangsa Inggeris kendali pasukan.

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)



9 kelab EPL kini menjadi milik ahli perniagaan Amerika Syarikat.

LONDON: Liga Perdana Inggeris (EPL) kekal menjadi liga paling global di planet Bumi.

Di tengah padang hanya 33.4 peratus adalah pemain berbangsa Inggeris manakala hanya enam pengurus berbangsa Inggeris mengendalikan pasukan. Hanya tiga pasukan (Brentford, Brighton dan Tottenham) dimiliki oleh ahli perniagaan kelahiran Inggeris.

Matthew Benham, Tony Bloom dan Daniel Levy (bersama Joe Lewis) memiliki kelab di liga utama negara itu di samping pemilik dari Itali, Thailand, UAE, Greece, Arab Saudi, Serbia dan China. Bagaimanapun kini pemilik dari Amerika Syarikat (AS) lebih mendominasi.

Koleksi taikun dari negara Uncle Sam itu menguasai EPL dengan Bill Foley menjadi anggota terbaharu.


Ahli perniagaan dari Texas itu, dengan kekayaan bernilai AS$1 bilion (RM4.7 bilion) dan memiliki pasukan hoki ais Vegas Golden Knights, sudah membeli Bournemouth baru-baru ini.

Picture

Warga Britain kelahiran Russia, Maxim Demin menerima 172 juta euro (RM786 juta) bagi penjualan kelab yang dinaikkan pangkat ke EPL dan menghuni tangga kelapan selepas menewaskan Leicester City 2-1.

Usahawan francais

NBA bagi bola keranjang, NFL dalam American football, MLB dalam besbol, MLS dalam bola sepak... semua liga utama Amerika diwakili dalam bola sepak menerusi pemiliknya.

Picture

Keluarga Glazer, pemilik pasukan American football, Tampa Bay Buccaneers, menjadi 'perintis' pada Mei 2005 selepas membeli Manchester United yang menjuarai pelbagai kejuaraan sehinggalah pemergian Sir Alex Ferguson pada 2013.

Krisis semasa menyebabkan peminat kecewa dengan pengurusan, mendesak pemergian Joel dan Avram Glazer. Malah dalam era keemasan 'Red Devils' beberapa peminat mengasaskan FC United of Manchester sebagai protes.

Fenway Sports Group, yang mengendali pasukan besbol Boston Red Sox dan pasukan hoki ais Pittsburgh Penguin selain mempunyai pelabur seperti bintang bola keranjang Los Angeles Lakers, LeBron James, membeli Liverpool pada 2010.

12 tahun kemudian, dengan Juergen Klopp menjadi pengurus, John W Henry dan Tom Werner menikmati kejayaan liga Inggeris dan Liga Juara-Juara.

Begitu juga Chelsea, selepas 'era Abramovich' dan 'kejatuhannya' susulan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dijual kepada dana pelaburan Clearlake Capital Group diterajui Todd Boehly dan Mark Walter, pemilik pasukan besbol Los Angeles Dodgers dan pemegang saham Lakers, dengan harga 4.7 bilion euro (RM21.5 bilion).

Empayar 'Gunners'

Stan Kroenke, pemilik syarikat induk Kroenke Sports & Entertainment yang mengawal Los Angeles Rams (American football), Denver Nuggets (bola keranjang), Colorado Avalanche (hoki ais) dan Colorado Rapids (bola sepak), menjadi pemegang saham majoriti Arsenal sejak 2018.

Picture

Di bawah pengurusannya mereka cuba untuk kembali ke puncak.

Usahawan Josh Harris dan David S Blitzer (pemilik antara lain pasukan bola keranjang Philadelphia 76ers) dan John Textor, dengan beberapa kelab di Brazil, menguasai Crystal Palace selama tujuh tahun bersama Steve Parish.

Wesley Edens, pemilik bersama pasukan bola keranjang Milwaukee Bucks, memiliki Aston Villa bersama Nassef Sawiris dari Mesir sejak 2018.

Di Fulham, ahli perniagaan permotoran AS-Pakistan Shahid Khan, yang juga pemilik pasukan American football, Jacksonville Jaguars dan syarikat gusti profesional All Elite Wrestling (AEW), sudah menguasai kelab itu selama sedekad.

Andrea Radrizzani memiliki 56 peratus saham Leeds namun 44 peratus daripadanya dimiliki 49ers Enterprises, yang juga menguruskan pasukan American football, San Francisco 49ers.

Malah di Manchester City yang dimiliki pelabur dari UAE, terdapat 10 peratus kepentingan AS menerusi firma pelaburan Silver Lake.

Kenapa ramai ahli perniagaan AS membeli kelab EPL?

"Ia mudah. Di Amerika Syarikat tiada naik atau turun divisyen," kata Arch Bell. "Kelab adalah francais dan satu-satunya penyelesaian untuk mempunyai pasukan dalam EPL adalah dengan membelinya. Di Eropah terdapat lebih banyak pilihan untuk menjana wang.

"Jika anda membeli pasukan divisyen dua atau tiga di Sepanyol, Jerman atau England anda boleh berkembang, meningkat, layak ke Eropah dan pelaburan boleh digandakan. Bournemouth satu contoh terbaik."

Wartawan ESPN itu melihat faktor utama lain menjadi alasan ahli perniagaan AS beralih ke EPL.

"Budaya dan bahasa banyak membantu," kata Bell. "Mereka sangat tertarik dengan bola sepak Inggeris kerana itu.

"Kelab-kelab itu lebih mahal, tetapi wang yang anda peroleh daripada hak siaran TV adalah besar, motivasi dan peluang untuk bersaing dengan yang terbaik adalah besar dan oleh itu mereka memutuskan untuk mengambil risiko."

Pada 2020-21, 20 kelab EPL menerima 2.958 bilion euro (RM13.5 bilion) daripada televisyen sebagai sebahagian daripada penjualan antarabangsa dan domestik bagi hak siaran perlawanan mereka untuk 2022-25.

Bagaimanapun trend itu bukannya sesuatu yang unik buat England kerana di Itali, terdapat pelabur AS di Milan, Inter, Roma, Fiorentina, Spezia, Parma dan Venezia.

PEMILIK AS DALAM EPL

Arsenal: Stan Koenke (Kroenke Sports & Entertainment)

Aston Villa: Wesley Edens (bersama Nassef Sawiris dari Mesir)

Bournemouth: Bill Foley

Chelsea: Todd Boehly dan Mark Walter (Clearlake Capital Group)

Crystal Palace: Joshua Harris, David S Blitzer dan John Textor

Fulham: Shahid Khan

Leeds United: 49ers Enterprises (44%)

Liverpool: John W Henry dan Tom Werner (Fenway Sports Group)

Manchester United: Keluarga Glazer

SOURCE: BH

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.