Sekat Perbelanjaan JDT untuk seimbangkan Liga

Kickbola.netAdakah kita tidak mahu maju ke hadapan dan mengejar contoh yang ada atau mahu selesa dan 'play safe' di liga sendiri? Oleh: Hairi Mohd.
klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)



Terdapat pihak dan individu yang menggesa agar penguasaan JDT dikawal dengan segera melalui kawalan dari aspek perbelanjaan pasukan semasa pasaran perpindahan, dengan kata lain pengenalan 'penyelarasan had bajet perpindahan' perlu diperkenalkan dalam Liga Malaysia.

Hal ini dikatakan demikian kerana penguasaan JDT di Liga Malaysia saban tahun berpotensi untuk menyebabkan liga negara ini hilang tarikan dan merencatkan adrenalin para penyokong untuk menyokong pasukan mereka.

Namun cuba kita lihat liga-liga di luar sana, jumlah penyokong Bundesliga, La Liga, Ligue One dan EPL tidak pernah berkurang walaupun Bayern Munich, Real Madrid, FC Barcelona, PSG dan Man United (Suatu masa dahulu) mendominasi liga saban tahun. Adakah kita pernah melihat bilangan penyokong kelab-kelab pencabar liga mereka berkurangan? Adakah mereka pernah mengugut untuk berhenti menyokong pasukan mereka kerana gagal bersaing di puncak liga dengan pasukan tangga pertama?

Contohi pasukan Bundesliga iaitu Borussia Dortmund yang sentiasa hadir membanyangi Bayern Munoch dalam persaingan liga Jerman. Semua pihak sedar bahawa Bayern merupakan kelab Jerman yang menguasai pasaran pemain kebangsaan Jerman dam mereka mempunyai kuasa kewangan yang paling kukuh berbanding dengan pasukan lain. Jadi apakah langkah yang dilakukan oleh Dortmund untuk bersaing dengan Bayern dengan menggunakan kelebihan yang ada pada mereka?

Ya.. kekuatan Borussia Dortmund ialah kualiti yang ada pada barisan pemain muda mereka. Dortmund tidak pernah gagal menghasilkan pemain muda tempatan dan asing yang berkualiti saban tahun sehingga digelar 'kilang bola sepak Jerman. Dortmund tidak terikut-ikut rentak Bayern Munich dalam soal berbelanja pemain. Dortmund memfokuskan aspek pembangunan bola sepak akar umbi mereka dengan memajukan infrastruktur latihan mereka demi melahirkan lebih banyak pemain berkualiti di samping membawa masuk pakar-pakar pencari bakat yang dapat mengesan pemain import berkualiti dari seluruh dunia. Tindakan ini dapat membantu mereka mengatasi kekurangan mereka dari aspek kewangan dan kekal bersaing dengan skuad Bayern Munich.

Berbalik kepada perihal bola sepak Malaysia, adakah kita tidak mahu maju ke hadapan dan mengejar contoh yang ada atau mahu selesa dan 'play safe' di liga sendiri? Kita mahu persaingan kembali terbuka dengan mengehadkan pembangunan dan penguasaan dana dan bajet yang dimiliki oleh pasukan tersebut. Adakah kita mahu lihat kemajuan kelab Liga Malaysia di peringkat antarabangsa (Piala AFC dan Liga Juara-Juara AFC) terhenti begitu sahaja hanya kerana terdapat sesetengah kelab gergasi tempatan yang gagal untuk bersaing sebagai juara?? Apalah gunanya seandainya kita membuka kembali persaingan dengan merendahkan kualiti pasukan juara jika persaingan yang kembali terbuka melibatkan pasukan-pasukan yang mempunyai kualiti sederhana. Kesannya, bola sepak kita kekal di takuk lama dan tertinggal dari era perubahan bola seoak moden dunia luar.

Adakah kita mahu digelar 'katak di bawah tempurung' dengan kita berasa seronok melihat persaingan sengit antara pasukan sedangkan realitinya, kualiti liganya amat sederhana berbanding liga negara luar Adakah kita ingin menyekat kewangan sesebuah pasukan semata-mata tidak ingin melihat liga bola sepak Malaysia didominasi oleh satu-satu pasukan walaupun pasukan tersebut menunjukkan kesungguhan untuk meningkatkan mutu, standard liga negara ini dan membawa nama Liga Malaysia ke luar negara?

Seharusnya kelab-kelab mencari pendekatan yang bersesuaian untuk mengejar kejuaraan JDT. Kekuatan kelab bukan hanya terletak kepada kehebatan pemain import sahaja. Kelab-kelab perlu melihatnya ke arah skop yang lebih luas iaitu daripada aspek kecergasan fizikal dan kecerdasan mentaliti pemain. Jika JDT mempunyai kekuatan dari aspek kewangan, pasti kelab lain juga mempunyai kekuatan tersendiri iaitu kualiti pemain-pemain muda daripada skuad belia mereka. Kelab-kelab seperti Selangor, Kedah, Pahang dan Terengganu terkenal sebagai kilang bola sepak Malaysia. Kelab-kelab seperti ini harus memikirkan strategi terbaik untuk mengatasi kekuatan utama JDT iaitu sumber kewangan. Jika pasukan JDT berjaya menggunakan sumber kewangan mereka demi membina infrastruktur latihan yang berkualiti dsn membantu pemain-pemain yang sibeli oleh mereka menjadi pemain yang lebih baik, pastinya kelab-kelab liga Malaysia yang lain mempunyai kaedah tersendiri untuk mencabar JDT yang seringkali utuh di persada liga Malaysia.

Kelab-kelab ini seharusnya memfokuskan dana dan bajet yang dimiliki oleh mereka untuk meningkatkan mutu dan skil permainan para pemain muda yang dihasilkan oleh mereka. Ubah mentaliti kelab yang meletakkan bahawa kualiti import sebagai penanda aras kekuatan pasukan. Lihatlah dari aspek positif tentang kejayaan JDT merangkul enam kali kejuaraan berturut-turut. JDT berjaya mengekalkan konsistensi kekuatan mereka kerana hampir kesemua pemain mereka berjaya mengekalkan kecergasan fizikal dan mutu prestasi mereka.

Bagaimanakah semua ini berlaku?

Rahsianya adalah terletak kepada kemudahan dan infrastruktur latihan pemain, pengenalan sains sukan dan amalan pengawalan pemakanan dalam kalangan pemain, di samping membawa masuk pakar-pakar dan jurulatih luar yang begitu komited dengan tugasan mereka.

Seharusnya perkara-perkara seperti ini yang perlu dititik beratkan oleh pengurusan-pengurusan kelab khususnya kepada 'para kilang bola sepak negara' dan pakar-pakar bola sepak negara. Gunakan segala dana yang anda miliki terhadap perkara asas paling penting dalam bola sepak iaitu infrastruktur dan program latihan para pemain muda.

Berhentilah menuding jari kepada pihak lain sekiranya kita gagal untuk mara ke hadapan. Janganlah kita cuba menyekat kemajuan pihak lain sekiranya kita gagal untuk 'duduk sama rendah, berdiri sama tinggi'

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.