Tomislav Strinbruckner yakin T-Team masih berpeluang juarai Liga Perdana 2015
Pengendali pasukan T-Team, Tomislav Strinbruckner mempunyai keyakinan tinggi terhadap anak buahnya bagi merebut gelaran Liga Perdana, musim ini.
Menurutnya, keyakinan itu dapat dibuktikan apabila pasukan berstatus kelab itu mampu mengalahkan pasukan yang pernah mengungguli persada liga seperti Sabah, Negeri Sembilan dan Johor Darul Ta'zim (JDT) II."Semua pasukan kuat kita telah atasi dan saya yakin kita boleh menjadi juara liga," katanya kepada pemberita di sini.
T-Team kini menghuni tangga keempat dalam liga 12-pasukan dengan mengumpul 11 mata, perbezaan tiga mata dengan pendahulu liga, Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Strinbruckner kurang berpuas hati dengan pemain import baharu, Josip Milardovic yang pertama kali diturunkan pada pertemuan dengan Sabah.
Menurutnya pemain dari Croatia itu banyak melakukan kesilapan pada perlawanan pertamanya.
Justeru, jurulatih dari Croatia itu berkata beliau akan memperbetulkan segala kesilapan pemain import itu semasa sesi latihan menjelang pertemuan dengan DRB-Hicom di Tanjung Malim, Perak, minggu depan.
Semalam, T-Team mengalahkan Sabah 4-3 pada pertemuan di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini. - BERNAMA
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola