FIFA: Bola Sepak Malaysia jatuh teruk ke ranking 164 dunia!

Kickbola.net FIFA: Bola Sepak Malaysia jatuh teruk ke ranking 164 dunia!
Malaysia jatuh ke ranking 164 dunia

Kekalahan 0-6 kepada Oman pada aksi persahabatan antarabangsa di tempat lawan pada 26 Mac lepas, menyaksikan Malaysia jatuh 11 anak tangga dalam ranking bola sepak dunia.

Berdasarkan ranking terbaharu dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) hari ini, Malaysia berada pada kedudukan ke-164 dunia dan  merupakan keputusan terburuk bagi tahun ini.

Untuk rekod, skuad kendalian Dollah Salleh meraih kedudukan ke-154 dunia pada Januari serta Februari dan meningkat satu anak tangga pada kedudukan ke-153 dunia bulan lepas.

Kedudukan terkini itu, meletakkan skuad kebangsaan sebaris dengan beberapa pasukan seperti Bhutan (163), Grenada (165), Puerto Rico (166) selain Hong Kong dan Bangladesh yang berkongsi kedudukan ke-167 dunia.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun dua anak tangga untuk berada di tempat kelapan di belakang Vietnam (125), Filipina (139), Thailand (142), Timor Leste (152), Myanmar (158), Indonesia (159) dan Singapura yang berada pada kedudukan ke-162 dunia.

Kedudukan Malaysia di peringkat Asia turut menyaksikan mereka turun empat anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-33 dari 46 negara.
   
Juara Piala Dunia 2014, Jerman terus mengekalkan status sebagai pasukan terbaik dunia dengan mengumpul 1,687 mata, diikuti Argentina di tangga kedua dengan 1,490 mata.

Wakil Eropah, Belgium pula naik satu anak tangga untuk berada pada kedudukan ketiga selepas mengumpul 1,457 mata, dan ia susulan kejayaan mereka meraih kemenangan berdepan Israel dan Cyprus dalam kempen kelayakan Kejohanan Bola Sepak Eropah 2016, bulan lepas.

Colombia pula turun ke tangga keempat dengan kutipan 1,449 mata dan kedudukan keseluruhan ranking tersebut, melibatkan 209 negara.  .

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.