DIKAITKAN DENGAN PASUKAN SARAWAK, ROZAIMI TETAP MAHU KEKAL BERSAMA SABAH


ROZAIMI MAHU KEKAL BERSAMA SABAH FA

PENYERANG berbisa profilik kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman dikatakan masih mahu terus menabur bakti bersama pasukan Sabah, sekali gus menepis segala khabar angin mengatakan dia akan beraksi bersama pasukan lain, musim depan.

Perkara itu disahkan Pengurus Pasukan yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Rahman Zakaria ketika dihubungi, semalam.

“Saya telah bercakap sendiri dengan Rozaimi dan dia katakan kepada saya akan terus kekal bersama Sabah, lagipun kontrak dia dengan SAFA hanya akan tamat pada November tahun depan.

“Rozaimi juga maklumkan kepada saya kecederaannya beransur pulih dan telah mula menjalani latihan di pusat kecergasan ‘gym’ pada setiap hari…jika semuanya berjalan lancar, kemungkinan besar November depan dia akan cuba menyesuaikan diri di atas padang pula,” katanya.

Sejak kebelakangan ini, timbul khabar angin mengatakan penyerang berusia 22 tahun akan meninggalkan Sabah untuk beraksi dengan pasukan lain termasuk Sarawak yang paling hangat dikaitkan dengan Rozaimi.

Rozaimi yang pernah terpilih menjadi antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN mengalami kecederaan sejak 4 Februari lalu sewaktu menentang Kelantan pada saingan pusingan kedua Piala FA.

Beliau kemudian berehat panjang dan kemudian hanya beraksi kira-kira 15 minit ketika Sabah melayan kunjungan Pulau Pinang di Stadium Likas, pada 14 April lalu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.