Badak membuat kesilapan 'mahal'

Wira! mencetak 2 gol Sabah FC, Josip Ivancic mengawal bola dalam perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas.

Kurniawan salahkan pemain kurang penyudah, Kurang berdisiplin, hilang fokus punca terlepas 3 mata berharga di Likas

KEGAGALAN pemain menyudahkan peluang, kurang disiplin dan kehilangan fokus menjadi punca kegagalan Sabah FC meraih tiga mata ketika menentang Sri Pahang FC pada saingan Liga Super yang berkesudahan seri 2-2 malam tadi.


Ketua Jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, beliau sememangnya tidak berpuas hati dengan aksi anak buahnya itu dan mahu pemain meningkatkan prestasi serta tidak mengulangi kelemahan sama pada perlawanan seterusnya.

"Perlawanan ini kita sasarkan untuk menang...kita banyak peluang jaringkan gol tetapi gagal sudahkan, kemudian mereka (Sri Pahang FC) jaringkan gol kerana kesilapan kita tiada disiplin (pertahanan) menjaga lawan.


"Kita juga pesan kepada pemain fokus terutama 15 minit awal dan akhir tetapi lawan menjaringkan gol ketika itu, apapun saya perlu puji usaha pemain mengejar gol dan tidak berputus asa hingga dapat menyamakan kedudukan," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Sabah FC mendahului pada minit ke-58 menerusi Josep Ivancic sebelum pasukan pelawat melalui Muhamad Baqiuddin Shamsudin menyamakan kedudukan pada minit ke-67, dan perlawanan itu berakhir penuh dramatik apabila Abdul Malik Mat Ariff meledak gol buat Sri Pahang FC pada minit ke-94 sebelum Ivancic menyamakan kedudukan seminit kemudian.


Ivancic penyelamat Sabah Josip Ivancic (dua dari kiri) menjadi penyelamat Sabah FC, meraikan jaringan pada minit terakhir aksi perlawanan Liga Super menentang Sri Pahang di Stadium Likas.
Ditanya tentang persiapan menentang Terengganu FC Ahad ini, Kurniawan berkata, kecederaan beberapa pemain terutama tonggak tengah Park Tae-su agak menjejaskan perancangannya, namun beliau percaya pemain lain mampu menggalas tugas direncana pasukan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sri Pahang FC Dollah Salleh berkata, kecuaian pemain pada minit akhir permainan memberikan ruang buat pemain Sabah FC menjaringkan gol penyamaan walaupun pemain telah diingatkan tentang situasi itu sebelum perlawanan.


"Perlawanan malam ini seimbang tetapi kita ada hilang fokus, dalam tiga perlawanan (sebelum ini) berlaku gol pada minit akhir dan sepatutnya pemain sudah tahu apa perlu dilakukan, semua duduk bawah (turun bertahan) tetapi masih ada pemain tidak fokus...kita akan pastikan ini tidak berulang," katanya. - Bernama

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.