SAFA akan distruktur Semula - Bung Moktar
Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang baharu, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan menstruktur semula badan induk bola sepak Sabah itu sejajar usaha mengembangkan sukan bola sepak di negeri ini.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata penstrukturan semula itu adalah langkah awal yang akan dilakukannya selepas dilantik memangku jawatan Presiden SAFA pada Isnin lalu.Penstrukturan SAFA katanya perlu bagi memastikan badan induk itu terus dihornati dan mampu merekodkan prestasi yang lebih baik demi pembangunan sukan bola sepak di Sabah dan seluruh negara.
“Selaku pemangku presiden SAFA, menjadi kewajipan saya untuk menyusun semula SAFA dan mengenal pasti kelemahannya,” katanya ketika mengulas perancangannya selepas dilantik sebagai pemangku Presiden SAFA, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata pengurusan SAFA perlu dimantapkan menerusi pembabitan mereka yang berpengalaman dan dapat menyumbang sesuatu untuk perkembangan bola sepak.
“Sebab bola sepak ini adalah sukan yang amat digemari oleh semua pihak, tidak kira tua atau muda dan Sabah pada saya adalah sebuah pasukan berpotensi bukan saja untuk menang, malah dapat membawa lebih ramai bakat baharu.
“Kita mahu bola sepak Sabah dikembalikan di semua peringkat termasuk di luar bandar agar lebih ramai dapat berkecimpung dalam sukan ini dan diberikan tempat bermain dalam liga,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai latar belakang beliau dalam sukan bola sepak, Bung Moktar berkata kejayaan membawa pasukan FELCRA FC ke Liga Super ketika menjadi penaung pasukan itu beberapa tahun lalu adalah antara pencapaian yang pernah dilakar sebelum ini.
“Pengalaman itu selain pernah berkecimpung dalam sukan bola sepak daerah dan negeri dulu akan saya gunakan untuk memajukan pasukan Sabah.
“Bagi saya ia bukan perkara baharu. Apa yang penting kita berikan keyakinan kepada pemain, pasukan dan pengurus untuk mengurus organisasi ini dengan baik, pasti hasilnya juga baik,” katanya.
Dalam hal lain, Bung Moktar berkata kerajaan negeri Sabah bersetuju untuk menimbangkan bantuan kepada bekas pemain Sabah, Bobby Chua yang sebelum ini dilaporkan sakit dan memerlukan rawatan lanjut.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola