Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengambil tindakan drastik dengan menggugurkan pengurus pasukan George O'Callaghan dan pemain import dari Singapura, Fazrul Nawaz daripada skuad Liga Perdana musim ini.
CEO Sabah Rhinos hari ini mengumumkan pemecatan George O'Callaghan dan Fazrul Nawaz dalam pasukan berikutan kegagalan mereka untuk menghadirkan diri dalam latihan sejak beberapa hari lalu.Beliau dalam pada itu juga turut mengumumkan akan bertindak sebagai Pengurus Pasukan menggantikan George manakala Justin Ganai masih kekal sebagai Ketua Jurulatih.
Goh bagaimanapun berkata, pasukan mungkin akan melakukan beberapa rombakan termasuk barisan kejurulatihan dalam pasukan sekiranya perlu sebelum Liga Malaysia 2015 bermula.
"Kita mahu melakukan yang terbaik buat pasukan, sekiranya perlu buat rombakan, kita akan buat...apa-apa boleh berlaku," katanya.
O'Callaghan, bekas pemain Ireland berusia 35 tahun itu dan Fazrul, yang masing-masing mempunyai kontrak dengan SAFA sehingga 31 Dis ini, dikatakan 'hilang' dan gagal dikesan.
Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif SAFA, Datuk Seri TC Goh mengambil alih tugas O'Callaghan manakala SAFA sedang berurusan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mengisi satu lagi kekosongan slot pemain import.
Berita mengenai nasib O'Callaghan dan Fazrul didedahkan oleh Goh pada majlis pengenalan skuad Liga Perdana Sabah 2015 dan pelancaran jersi baharu pasukan itu di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Presiden SAFA merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Goh memberitahu pemberita bahawa O'Callaghan dan Fazrul sehingga kini tidak dapat dihubungi dan pihak persatuan terpaksa menggugurkan mereka serta membuat aduan kepada FAM dan FIFA untuk tindakan susulan.
"O'Callaghan gagal menggalas tugasan sebagai pengurus dan tidak memberi contoh terbaik kepada pengurusan. Dia terpaksa digugurkan kerana gagal dijejaki meskipun memiliki baki kontrak bersama SAFA sehingga Disember ini," katanya.
O'Callaghan, yang mengikat kontrak tahun lepas, bertindak sebagai jurulatih dan pengurus pasukan.
Ekoran tindakan itu, SAFA telah melantik Justin Ganai sebagai ketua jurulatih. Kempen Liga Perdana dijadual bermula 6 Feb ini.
Mengenai barisan pemain Sabah, Goh berkata ia belum muktamad dan SAFA bersedia membuat rombakan pada saat-saat akhir menjelang kempen musim ini.
"Sekiranya berlaku perubahan atau rombakan pada barisan pemain dan pengurusan pasukan sebelum atau pada 6 Feb ini, itu adalah sebagai langkah mengukuhkan prestasi pasukan Sabah," katanya.
Setakat ini pemain import yang bakal beraksi dalam Liga Perdana mewakili Sabah adalah bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf dan penyerang Libya, Eamon Zayed serta bekas pemain pertahanan Hull City, Abdoulaye Fay.
Sabah menamatkan kempen Liga Perdana 2014 dengan menduduki tempat ketujuh dan bertekad untuk kembali ke Liga Super musim depan..