Kejayaan menjulang Piala AFF buat pertama kali, empat tahun lalu gagal diulang Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil sekalipun menewaskan Thailand 3-2, malam tadi.
Sebaliknya, Thailand mengesahkan kejuaraan untuk mereka buat kali keempat dengan dua gol pada lewat permainan untuk menang agregat 4-3 dalam final kedua ini atas perkiraan jaringan gol di tempat lawan.
Hadir ke Bukit Jalil dengan tugas berat, skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh itu memberi bayangan awal keajaiban mampu diulang dengan mendahului 3-0 sebelum semuanya berakhir lapan minit masa permainan tamat.
Thailand yang terdesak memburu gol meledak menerusi pemain sensasi, Charyl Chappuis pada minit ke-82 yang merobek emosi pemain-pemain negara.
Keadaan itu dimanfaatkan sepenuhnya Thailand yang menyumbat gol kedua menerusi Chanathip Songkrasin pada minit ke-87 yang mematikan terus semangat juang negara.
Tidak cepat melatah, Dollah tetap menurunkan kesebelasan hampir sama ketika final pertama dengan hanya pertahanan tengah, Mohd Fadhli Shas digugurkan dan digantikan dengan pemain tinggi lampai, Mohd Afif Amiruddin.
Tewas 2-0 perlawanan pertama di Stadium Rajamangala Bangkok, Malaysia mempamer corak permainan pantas di awal permainan yang jelas gagal dibaca muda Thailand.
Keghairahan Malaysia untuk memburu jaringan terhasil apabila dianugerahkan sepakan penalti seawal minit keenam yang disempurnakan Safiq Rahim.
Menerusi gerakan yang dimulakan di bahagian kanan padang, bola hantaran cantik Azamuddin Akil pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha sebelum dijatuhkan pertahanan Thailand di kawasan penalti.
Jaringan itu turut meletakkan Safiq selaku penjaring terbanyak edisi Piala AFF setakat ini dengan mengumpul lima gol.
Gol kedua negara pula disumbangkan pemain veteran, Indra Putra Mahayuddin pada masa kecederaan babak pertama yang memberikan kedudukan agregat 2-2 buat Malaysia.
Memasuki babak kedua, Thailand yang terdesak berjaya melancarkan beberapa serangan berbahaya namun akhirnya dihukum menerusi jaringan kedua peribadi Safiq menerusi sepakan percuma pada minit ke-58.
Begitupun gol itu tetap tidak mencukupi untuk Malaysia menjulang Piala AFF buat kali kedua.