Perlawanan percuma untuk peminat Kijang

Selepas kerap membilang kekalahan di gelanggang lawan dan bebanan kewangan semakin mengancam, Persatuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini boleh menarik nafas lega.

Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pasukan tersebut kembali beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Muhammed IV di sini bermula 16 Jun ini suatu yang dinanti-nantikan.

Bagi mengucapkan tanda terima kasih kepada para penyokong setianya, KAFA akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang KL Plus dan Selangor, Jumaat ini yang boleh disaksikan secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif KAFA, Mohd. Nor Yaakob berkata, perlawanan persahabatan pertama menentang KL Plus akan diadakan pada pukul 8.45 malam dan hanya tempat duduk astaka dikenakan bayaran RM10.

Beliau berkata, perlawanan menentang Selangor akan diadakan pada Selasa depan dan ia akan dipantau oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamaruddin Abdullah serta seorang wakil daripada jawatankuasa pertandingan.

"Perlawanan ini diadakan sebagai tanda terima kasih kita selepas dibenarkan semula untuk beraksi di gelanggang sendiri dan kita juga ingin menunjukkan kepada semua pihak bahawa perlawanan yang diadakan di sini akan berlangsung dalam keadaan yang baik.

"Perlawanan menentang Selangor amat penting kerana semua aspek pada perlawanan tersebut termasuk beberapa perkara yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang perlu dilakukan oleh KAFA dan Perbadanan Stadium," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Mohd. Nor berkata, jawatankuasa tersebut telah mengarahkan KAFA supaya gelanggang perlawanan perlu dilengkapi dengan terowong laluan pemain, pagar keselamatan secara tetap dan pondok penjualan tiket.

Katanya, persatuan tersebut dengan kerjasama perbadanan stadium dalam proses untuk menyiapkan kesemua arahan tersebut bagi memastikan Kelantan dapat beraksi di gelanggang sendiri.

"Saya bagi pihak KAFA memohon kepada para penonton supaya menjaga tatatertib pada perlawanan persahabatan ini dan perlawanan selanjutnya kerana ia akan memberi kesan kepada pasukan untuk beraksi di gelanggang ini pada masa depan.

"Perlawanan persahabatan ini juga hadiah kepada para penyokong yang setia memberikan sokongan kepada pasukan kita sehingga mencatatkan kejayaan menjejakkan kaki ke final piala FA baru-baru ini walaupun tewas," katanya.

Tambahnya, ia juga sebagai persediaan para pemain untuk menempuh pusingan kedua Liga Super selepas berhenti rehat selama dua minggu.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.