Tiga `pakar formasi' rebut gelaran jurulatih terbaik ABK 2022
ABK22 : Kim Swee, Hodak, Nafuzi bersaing rebut jurulatih terbaik
KETUA jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengakui persaingan yang hebat untuk memburu gelaran Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22) selepas tercalon dalam kelompok tiga terbaik pada musim ini.Selain Kim Swee, dua lagi calon adalah pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak dan Nafuzi Zain selaku jurulatih Terengganu FC. Bagi bekas ketua jurulatih kebangsaan itu, beliau menganggap pencalonan ini sebagai satu penghargaan apatah lagi ini merupakan tahun pertama beliau diberi kepercayaan membimbing kelab di pentas Liga Malaysia.
Sudah pasti, Kim Swee turut menghormati dua calon lain berdasarkan pencapaian mereka yang cukup memberangsangkan dalam mengendalikan Kuala Lumpur City dan Terengganu pada musim 2022.
“Ia sangat bagus apabila diberi pengiktirafan seperti ini dan sudah pasti amat penting untuk saya sebagai jurulatih untuk melakukan apa yang sepatutnya kepada pasukan musim ini.
“Ini tahun pertama saya sebagai jurulatih Sabah dan saya percaya banyak lagi yang kami boleh perbaiki.
“Tidak kira menang atau kalah, saya tetap bersyukiur atas pencalonan ini dan semestinya berbangga untuk bersaing dengan dua lagi jurulatih (Bojan Hodan dan Nafuzi) yang telah meraih kejayaan bersama pasukan mereka,” jelasnya
Nafuzi pula menganggap pencalonan kali ini adalah hasil usaha keras satu pasukan untuknya merebut gelaran Jurulatih Terbaik.
Baginya, Hodak yang meraih anugerah tersebut pada musim lalu turut mempunyai peluang untuk mempertahankan gelarannya kali ini selain Kim Swee yang juga telah melakukan tugas cukup baik membimbing Sabah mencapai kedudukan tiga terbaik Liga Super.
“Saya nak katakan pencalonan ini bukan disebabkan usaha saya seorang, tetapi melibatkan kerja keras daripada semua pemain juga.
“Saya anggap pencalonan ini satu penghargaan untuk saya dan sudah tentu peluang untuk menang bukan mudah kerana kita tahu kedua jurulatih itu juga mempunyai pengalaman dan nama yang besar.
“Tetapi, dapat tercalon kali ini pun saya sudah bersyukur apatah lagi dicalonkan bersama-sama calon lain yang cukup hebat”, katanya.
Pada musim lalu, Bojan Hodak meraih Anugerah Jurulatih Terbaik bersaing dengan Nafuzi dan Benjamin Mora (JDT) selepas beliau berjaya membawa pasukan Kuala Lumpur City memenangi trofi TM Piala Malaysia 2021.
ABK22 akan berlangsung secara virtual pada Khamis, 15 Disember 2022, jam 9 malam di mana sebanyak 16 kategori dipertandingkan.
Anugerah yang dipertandingkan ialah dan Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Muda Terbaik, Pemain Import Terbaik dan Pemain Paling Bernilai (MVP).
Selain itu, kategori Penjaring Terbanyak Liga Super, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super, Penjaring Terbanyak Liga Premier, Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier, Anugerah Fair Play, Fan XI, Gol Terbaik Liga Malaysia 2022 dan Pasukan Terbaik juga turut diiktiraf.
SOURCE: Flash Sukan
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.