Libatkan Kim Swee dalam program pembangunan - Yap Wai Loon

Picture
Bekas pemain antarabangsa Yap Wai Loon (Foto: Facebook)

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)


KOTA KINABALU: Bekas pemain antarabangsa Yap Wai Loon (gambar) menggesa Persatuan Bolasepak Sabah (Safa) agar menggunakan sebaiknya Datuk Ong Kim Swee untuk membangunkan pemain junior di negeri ini.

Beliau berkata ketibaan bekas jurulatih kebangsaan itu tentunya akan menjana minat yang besar dalam sukan itu terutamanya dalam kalangan belia di negeri ini dan badan negeri itu mesti merebut peluang itu untuk melibatkan Kim Swee dalam program pembangunan mereka.

“Dengan tokoh berprofil tinggi seperti Datuk Ong datang ke sini untuk membimbing pasukan negeri, saya pasti akan ada ramai pemain junior yang termotivasi dengan kehadirannya.


“Oleh itu, saya harap selain daripada tugas membimbing pasukan negeri, beliau juga dapat membantu melakar satu program pembangunan yang baik untuk Safa dengan pengalaman luasnya dan kejayaan bersama skuad junior kebangsaan,” katanya pada Selasa.

Bekas pemain tengah Sabah itu yang pernah tampil 30 kali untuk negara pada tahun sembilan puluhan turut berkata beliau gembira dengan tindakan bekas rakan sepasukannya itu untuk kembali bagi membimbing Sabah.

“Saya sangat gembira beliau menerima tawaran untuk menjadi ketua jurulatih Sabah FC.

“Saya tidak fikir ia satu keputusan yang mudah untuk dibuat oleh sesiapa sahaja melepaskan jawatan tinggi sebagai pengarah teknikal FAM. Saya benar-benar berharap beliau akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk menjadikan Sabah kembali hebat,” katanya.

Beliau sangat optimis bahawa Kim Swee akan dapat menangani tekanan dan memberikan yang terbaik jika beliau diberi kebebasan untuk memilih pemain-pemainnya.


“Beliau datang dengan jangkaan tinggi tetapi saya pasti dengan pengalaman dan pengetahuannya, pasukan akan dapat memasuki kelompok lima terbaik jika ada rombakan besar-besaran terhadap pasukan semasa dengan pemain yang tepat dimasukkan.

“Penyokong tempatan mungkin ada kesangsian mengenai pemain import dari Semenanjung tetapi mereka perlu faham bahawa pemain tempatan yang kita ada sekarang tidak cukup bagus.

“Tidak ada keraguan bahawa ramai daripada mereka membawa kegemilangan kepada negeri dengan membantu pasukan memenangi gelaran Liga Premier pada 2019.

“Bagaimanapun, kita juga mesti realistik bahawa mereka tidak membawa sebarang impak untuk pasukan di Liga Super dengan prestasi mereka yang kita lihat dalam dua musim lalu.

“Saya percaya salah satu daripada sebabnya adalah kerana mereka tidak benar-benar bermotivasi disebabkan berasa terlalu selesa kerana ramai pemain junior kita ketika ini tidak cukup bagus untuk menggantikan mereka dan sebab itulah saya harap Safa akan memandang serius program pembangunan mereka.

Beliau berkata semasa zaman beliau bermain dengan Sabah, pemain-pemain senior sentiasa fokus kerana mereka tahu bahawa tempat mereka boleh diambil oleh pemain junior pada bila-bila masa.


“Pada 1995, jurulatih Ronald Smith, yang hanya tiba ketika berbaki lapan perlawanan berjaya membimbing pasukan dari tangga ke-15 untuk menamatkan saingan di tangga kelima pada penghujung musim walaupun ketiadaan banyak pemain senior (susulan skandal perlawanan) kerana kami mempunyai pemain simpanan yang berkualiti dari skuad junior.

“Dengan pemain tempatan yang hampir sama, pasukan berjaya memenangi gelaran Liga M buat kali pertama setahun kemudian serta mara ke final Piala Malaysia.

“Jurulatih junior ketika itu ialah Yuhyah Kassim dan beliau memainkan peranan penting dalam pembangunan pemain remaja dan saya ingin melihat Sabah kembali ke zaman kegemilangan pada masa akan datang dengan input daripada Datuk Ong,” katanya. – DE

SOURCE: Warta Oriental

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.