LIKAS: Sang Badak mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini apabila membenam Kuantan FA 2-1 dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Likas, di sini, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga adalah yang pertama buat Jelius Ating yang mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih, sebulan lalu.Kuantan FA lebih dulu mendahului tuan rumah pada minit kedua hasil tandukan Ljubo Baranin selepas menerima hantaran lintang daripada ketua pasukannya, Abdul Malik Mat Ariff.
Pada minit ke-27, Sabah memiliki peluang baik menerusi cubaan Leopold Alfonso Otong, namun, rembatannya berjaya dihalang penjaga gol lawan, Mohd Sheril Anuar Saini dalam keadaan satu lawan satu.
Bagaimanapun seminit kemudian, gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya diperoleh menerusi Rahman Shah Marajeh yang menyempurnakan hantaran cantik Sabri Sahar dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga tamat babak pertama.
Bermula separuh masa kedua, Sabah terus garang memburu gol pendahuluan namun serangan demi serangan yang dilakukan mereka gagal diterjemah kepada jaringan.
Pada minit ke-51, Kuantan FA terpaksa bermain dengan sepuluh orang apabila Muhammad Hashim Shamsudin dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Rahman.
Sabah kemudian menggunakan kelebihan itu apabila berjaya memperoleh gol kedua hasil rembatan Maxsius Musa pada minit ke-60 selepas menerima hantaran cantik Masaya Jitzono.
Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-71 hasil cubaan Leopold dari luar kotak penalti, namun, rembatannya itu sekadar singgah di palang gol lawan.
Walaupun beraksi dengan sepuluh pemain, Kuantan FA turut memiliki beberapa peluang baik, namun, setiap serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah.
Kedudukan 2-1 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Zulkifli Ahmad, meniupkan wisel penamat.
Kemenangan itu melonjak Sabah ke tangga ke-10 dengan tujuh mata sekali gus memaksa Perlis yang turut mengutip tiga mata sulung kembali menghuni tangga tercorot liga.