KOTA KINABALU: Ketua jurulatih Badak Sabah yang baru dilantik Datuk Ong Kim Swee tidak membuang masa terus bertemu pemain-pemain sejurus selepas ketibaannya dari Kuala Lumpur pada jam 5 petang Sabtu lalu.
Beliau dilihat bercakap dengan pemain-pemain selepas sesi latihan mereka di dalam stadium dengan kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC, Khairul Firdaus.
Kejohanan Piala Malaysia, dengan sejumlah 16 pasukan bersaing tahun ini, dijadualkan bermula pada hujung September.
Ia akan dibahagikan kepada empat kumpulan terdiri daripada 11 pasukan teratas dalam Liga Super dan lima pasukan teratas Liga Premier.
Saingan itu akan bermula dengan pusingan awal peringkat kumpulan di mana dua pasukan teratas setiap kumpulan akan layak ke suku akhir. Sabah diundi dalam Kumpulan D bersama pemenang dua kali JDT, Petaling Jaya City FC dan pasukan tangga keempat Liga Premier.
Sementara itu, bekas jurulatih Badak, Kurniawan Dwi Yulianto mungkin akan kembali ke arena kejurulatihan tidak lama lagi apabila namanya dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Borneo Football Club yang berpangkalan di Samarinda, Kalimantan Timur, Indonesia.
Pasukan Liga Satu Indonesia itu ketika ini tidak mempunyai jurulatih susulan pemergian bekas ketua jurulaith JDT Mario Gomez yang meninggalkan pasukan selepas hanya dua perlawanan. – DE
SOURCE: Warta Oriental
Kongsikan artikel ini: