Malaysian Football League (MFL) mengumumkan hanya 10 pasukan yang bakal bertanding dalam divisyen kedua bola sepak Malaysia, Liga Premier 2022.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.
Stuart Ramalingam – Foto: FAM |
Dimaklumkan keputusan itu dibuat berikutan reserve team (pasukan simpanan), Perak FC II tersingkir secara automatik ke saingan Liga M3 selepas parent club (pasukan induk), Perak FC turun pangkat bermain di Liga Premier musim 2022.
Kata Stuart, Perak FC menamatkan kempen di posisi ke-11 Liga Super 2021 sekaligus tersingkir ke Liga Premier 2022.
Manakala pasukan berstatus reserve team secara automatik akan tersingkir daripada pertandingan sekiranya parent club mereka jatuh liga berdasarkan Manual Liga Malaysia Artikel 3.19.6 Peraturan Reserve Team.
Kedudukan terakhir Liga Super 2021 selepas 22 perlawanan. |
Jelasnya lagi, Amateur Football League (AFL) juga telah membuat pengumuman pembatalan Liga M3 pada 14 September 2021 menyaksikan tiada pasukan daripada liga berkenaan dapat dipromosikan ke Liga Premier 2022 secara merit pertandingan.
Justeru, MFL membuat keputusan untuk menganjurkan Liga Premier dengan jumlah 10 pasukan sahaja pada tahun hadapan.
Dengan ketiadaan Perak FC II, Liga Premier 2022 akan menampilkan Kuching City FC, Johor Darul Ta’zim II, Terengganu FC II, Selangor FC 2, PDRM FC, Kelantan United FC, Kelantan FC, Skuad Projek FAM-MSN diikuti pendatang dari Liga Super, Perak FC dan UiTM FC.
Sementara itu, dua pasukan teratas Liga Premier, Sarawak United FC dan Negeri Sembilan FC telah pun mengesahkan kemaraan mereka bertanding dalam kempen Liga Super 2022.
Sumber: MFL
Kongsikan artikel ini: