Rozaimi Abdul Rahman Kini Bukan Lagi Pemain Kedah

Kontrak Rozaimi dengan KDA FC telah ditamatkan lebih awal.




Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) hari ini mengumumkan mereka telah mencapai persetujuan bersama bekas pemain kebangsaan, Rozaimi Abdul Rahman untuk menamatkan kontraknya lebih awal selepas 8 bulan bersama pasukan itu.

Kehilangan Rozaimi dalam beberapa perlawanan Liga Super sebelum ini menjadi tanda tanya dalam kalangan peminat setia KDA FC kerana khidmat pemain itu ditagih bagi menghadapi baki saingan Liga Super musim ini.

Menurut kenyataan rasmi, penamatan kontrak tersebut mempunyai kaitan dengan masalah peribadi yang dihadapi oleh pemain yang berusia 28 tahun itu dan pihak pengurusan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Rozaimi.

“Penamatan kontrak ini adalah penyelesaian akhir atas permohonan pemain tersebut selepas kelab memberi peluang tempoh 2 bulan buat Rozaimi untuk menyelesaikan hal peribadi sebelum beliau memutuskan haluan kerjaya bolasepaknya.

“Pihak pengurusan kelab menghormati pendirian beliau walaupun kudrat dan pengalamannya ditagih dibahagian serangan,” tulis kenyataan rasmi.


Rozaimi rasmi meninggalkan Kedah FC
Rozaimi sebelum ini diikat KDA FC selama 1 musim bagi mengisi jentera serangan pasukan setelah berkelana di JDT II selama 4 tahun.

Sepanjang berkhidmat bersama KDA FC di musim 2021, beliau membuat 9 penampilan, 264 minit aksi dan 1 hantaran menghasilkan gol bersama skuad hijaukuning. Penampilan terakhir Rozaimi adalah ketika membantu KDA FC menang ke atas Melaka United FC pada 30 April 2021.

OBSESBOLA ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Rozaimi Abdul Rahman dalam kerjaya bolasepak dan semoga memperolehi kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.