Bintang Sepanyol Andres Iniesta tinggalkan Barcelona

Kickbola.net ANDRES Iniesta. - Foto EPA.
Iniesta tinggalkan Barcelona

Andres Iniesta mengesahkan dia akan meninggalkan Barcelona pada hujung musim ini selepas 22 tahun berkhidmat bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Pada sesi sidang media dihadiri barisan pemain skuad utama pasukan dan ahli lembaga pengarah kelab hari ini, Iniesta berkata dia mahu menamatkan kerjaya bersama The Catalan dengan perasaan masih berguna, penting dan mampu meraih gelaran juara.

Iniesta dijangka meneruskan kerjayanya di China tetapi menegaskan dia perkara itu masih belum diputuskan.

Pemain berusia 33 tahun itu bagaimanapun, berkata dia tidak akan bermain menentang Barcelona.

Selepas menyertai akademi Barcelona, La Masia pada usia 12 tahun, Iniesta dilabel sebagai seorang daripada pemain terhebat The Catalan dengan menjuarai empat gelaran Liga Juara-Juara dan merangkul trofi Piala Dunia bersama Sepanyol.

Dia yang tidak dapat menahan air matanya, berkata: "Saya faham untuk masa terdekat ini, saya tidak mampu memberikan yang terbaik daripada diri saya dalam semua aspek, fizikal dan mental.

"Jika saya menamatkan kerjaya saya di sini, ia akan menjadi seperti ini, merasakan masih berguna, masih penting dan masih mampu merangkul gelaran juara.

"Ia adalah hari yang sukar untuk saya kerana saya berada di sini sepanjang hidup saya dan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada kehidupan saya di sini adalah sangat sukar," katanya.

Ucapan pendek Iniesta itu disambut dengan tepukan gemuruh dan ucapan tahniah dijangka berterusan pada Ahad ini apabila dia berpeluang merangkul gelaran kesembilan Liga Sepanyol.

Barcelona hanya memerlukan satu mata pada pertemuan dengan Deportivo La Coruna bagi membolehkan mereka bergelar juara liga.

Ia akan menjadi gelaran kedua buat Iniesta pada kempen musim ini selepas Barcelona turut muncul juara Piala Raja Sepanyol hasil kemenangan ke atas Sevilla, minggu lalu. - AFP

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.