Harimau Malaya buat Vietnam gigit jari dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014


Vietnam gigit jari

Skuad Harimau Malaya membalas dendam kekecewaan di Shah Alam tempoh hari dengan menumpaskan Vietnam 4-2 dalam aksi timbal balik separuh akhir Piala Suzuki AFF 2014 di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi.

Kemenangan dengan agregat 5-4 itu melayakkan Malaysia menempah slot perlawanan akhir untuk berdepan Thailand.

Vietnam turun berkeyakinan tinggi apabila beraksi di tempat sendiri ditambah pula berbekalkan kedudukan 2-1, namun ia tidak mematahkan skuad bimbingan Dollah Salleh untuk beraksi baik, sekaligus mengecewakan pasukan tuan rumah di depan penyokong sendiri.

Malaysia meraih jaringan pembukaan seawal minit ke-3 hasil sepakan penalti Safiq Rafim selepas salah seorang pemain Vietnam dipersalahkan kerana menjatuhkan Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti.


Jelas moral Harimau Malaya semakin meningkat. Di minit ke-16, Amri Yahyah membuat lambungan jauh untuk disambut Norshahrul Idlan Talaha, sebelum pemain Johor Darul Takzim itu bijak mengambil peluang hasil kesilapan benteng lawan dengan membuat sedikit sentuhan, sekaligus menyumbang gol kedua negara.

Di minit ke-22, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dan ia disempurnakan oleh Lee Chon Vinh.


Kemasukan Badhri Radzi atau Piya tidak menghampakan Dollah apabila kepekaan dan hantaran tepatnya kearah Indra mencetuskan gol. Indra yang menyambut baik bola tersebut, melakukan sepakan kearah gol sebelum tertampan pemain Vietnam, Dinh Tien Thanh sekaligus menerjah gawang tuan rumah.


Ketika Badri mengambil sepakan penjuru dua minit sebelum waktu rehat, pemain pertahanan yang juga kapten negara, Shukor Adan naik ke atas untuk membantu bahagian serangan. Dalam keadaan pintu gol Vietnam cemas, Shukur membuat tandukan mudah untuk menyempurnakan jaringan keempat negara.

AKSI Syukor Adan (kiri) ketika meraikan kejayaan berjaya menyumbat gol keempat negara pada perlawanan separuh akhir kedua, Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi sebentar tadi. - Foto ihsan #AFFSuzukiCup

Bersambung babak kedua, Vietnam melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu Harimau Malaya, memaksa pertahanan negara bekera keras.

Bagaimanapun, gawang negara bolos di minit ke-78 apabila kesilapan kecil Shukur digunakan sepenuhnya oleh Chon Vinh, dengan melakukan rembatan deras untuk mengecewakan Farizal Marlias.

15 minit terakhir adalah tempoh paling kritikal di bahagian pertahanan negara apabila terpaksa menahanan asakan Vietnam, namun ia berbaloi selepas Malaysia berjaya mempertahankan kedudukan 4-2, sekaligus memenangi perlawanan separuh akhir dengan agregat 5-4.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.