MANCHESTER: Manchester United meneruskan rentetan kemenangan kepada enam perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan menundukkan musuh tradisi, Liverpool 3-0 di Old Trafford, sebentar tadi.
Penjaga gol United, David De Gea juga harus dinobat sebagai wira dengan melakukan beberapa aksi menyelamat dengan gol dijaringkan menerusi kapten pasukan, Wayne Rooney, Juan Mata dan Robin van Persie.Kemenangan turut menyaksikan United kini hanya ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Chelsea selepas 16 perlawanan dengan Liverpool menambah rekod kekalahan kepada tujuh.
Gol pertama United dijaringkan Rooney pada minit ke-12 menerusi satu serangan balas pantas selepas Liverpool gagal menyempurnakan peluang terhidang menerusi Raheem Sterling.
Menerusi kawasan kanan padang, pemain sayap Valencia dengan bijak melepasi dua pertahanan Liverpool termasuk Joe Allen untuk melepaskan hantaran kepada Rooney yang disempurnakan menerusi rembatan leret padu ke gawang pelawat yang dikawal Brad Jones.
Tanpa menghiraukan jaringan pembukaan tuan rumah, Liverpool meneruskan corak serangan yang dimulakan sejak awal permainan oleh pengendali, Brendan Rodgers namun setiap cubaan gagal menghasilkan gol.
Ketika Liverpool rancak memburu jaringan, United memperguna peluang terhidang dan meledak gol kedua menerusi pemain tengah Sepanyol, Juan Mata sekalipun mencetus kontroversi kerana dianggap ofsaid.
Berpunca daripada gerakan di sebelah kiri padang, Ashley Young menghantar bola tinggi kepada Robin Van Persie yang ditanduk sebelum disambut Juan Mata juga menerusi tandukan pada minit ke-40.
Memasuki separuh masa kedua dengan keputusan 2-0 menyaksikan percaturan Rodgers dipersoalkan.
Sebelum perlawanan, Rodgers membuat kejutan dengan tidak menyenaraikan penjaga gol utama, Simon Mignolet membariskan penjaga gol Australia, Jones.
Malah keputusannya untuk tidak menyenaraikan penyerang tulen pada separuh masa pertama turut dipersoalkan dengan penyerang Itali, Mario Balotelli diletakkan di bangku simpanan dan dikeluarkan pada babak kedua.
Sekalipun menguasai bola, Liverpool terus buntu mencari jaringan dengan United menambah gol ketiga juga menerusi serangan balas selain kelemahan pertahanan The Red.
Dimulakan Rooney yang mencetus gerakan dari kawasan kiri padang, bola yang dihantar penyerang England itu ke kawasan penalti begitupun ditepis lemah pertahanan, Lovren yang akhirnya tiba tepat ke kaki Mata.
Mata yang tidak dikawal pantas melepaskan hantaran kepada Van Persie di sebelah kanan yang tidak mensia-siakan peluang meledak gol mengatasi Jones buat kali ketiga pada minit ke-70.
Begitupun, kehebatan De Gea mengawal kubu United daripada beberapa serangan berbahaya lebih mendapat pujian terutama ketika menafikan gol Sterling hanya berdepannya pada babak pertama selain beberapa cubaan bertali arus Balotelli.