TOKYO: Seorang remaja anggota kelab penyokong Yokohama F-Marinos digantung seumur hidup oleh kelab Liga Jepun (J-League) itu selepas menunjukkan buah pisang kepada pemain Brazil kerana ia dianggap berunsur perkauman.
Laman web Yokohama hari ini berkata, penyokong itu melakukan apa yang disifatkan 'tindakan provokasi' terhadap seorang pemain Brazil yang tidak dinamakan yang beraksi untuk kelab Kawasaki pada malam sebelum itu.Yokohama menang perlawanan itu dengan keputusan 2-0.
Penyokong lelaki itu juga dilihat di kaca televisyen dan kemudian tersebar di media sosial dengan aksinya melambai-lambaikan tangan dengan memegang buah pisang di belakang jaring gol Yokohama pada minit ke-42 ketika penyerang Kawasaki, Renato merapati ke arahnya.
Apabila ditanya tindakan penyokong berkenaan yang dikenali sebagai lelaki berusia remaja, Presiden Yokohama, Akira Kaetsu memberitahu media Jepun semalam: "Daripada sudut pandangan objektif, ia berkemungkinan tinggi berbau perkauman."
"Ia mempunyai syak yang luas," katanya mengenai tindakan melambai dengan buah pisang itu bersifat diskriminasi perkauman.
Ia adalah insiden kedua bersifat perkauman dalam bola sepak Jepun tahun ini namun masih belum jelas sama ada J-League akan mengenakan hukuman terhadap Yokohama.
Pada Mac lalu, Urawa Reds diperintahkan oleh pihak berkuasa liga berkenaan agar bermain dalam gelanggang tanpa penonton selepas penyokong bertindak mempamerkan kain rentang "Japanese Only" (untuk orang Jepun saja) pada perlawanan di gelanggang sendiri. - AFP