David Moyes kecewa sikap Alex Ferguson berikutan pemecatannya


David Moyes (kiri) berasa kesal dengan sikap Alex Ferguson yang seperti menjauhkan diri daripadanya ketika Manchester United mengharungi minggu yang sukar dalam Liga Perdana Inggeris.

LONDON - David Moyes semalam meluahkan rasa kesal terhadap Manchester United kerana berasa dihampakan setelah tidak mendapat soko­ngan daripada Alex Ferguson dalam minggu-minggu ter­akhirnya membimbing kelab itu.

Moyes berasakan Ferguson telah sengaja menjauhkan dirinya daripada beliau apabila keputusan perlawanan dan mood dalam kala­ngan ahli lembaga United berubah.

Bekas pengurus Everton itu telah dipecat pada Isnin lalu selepas 10 bulan mengambil alih tugas daripada bekas pengurus, Ferguson.

Moyes juga berasa marah kepada kelab gergasi itu kerana menunggu sehingga peluang untuk ke Liga Juara-juara sudah tertutup untuk memecatnya - yang bermakna Uni­ted boleh memecatnya dengan membayar jumlah pampasan yang lebih kecil.

Di bawah syarat kontrak enam tahun yang ditandatangani Moyes, United hanya perlu membayar 4.5 juta pound (RM24.7 juta) setelah dia gagal menempatkan kelab dalam kelompok empat terbaik, daripada membayar nilai penuh kontraknya.

Malah ada sumber memberi­tahu bahawa Moyes turut rasa terbeban sejak kali pertama menggalas tugas sebagai pengurus United kerana perlu bekerja dengan naib presiden baharu, Ed Woodward.

Bagi Moyes naib presi­den tersebut masih baharu dalam pasaran perpindahan permain dan menjadi salah satu punca beberapa harapan untuk membeli pemain terganggu.

Sementara itu, pelawat ke Old Trafford semalam mendapati kain pemidang tertulis The Chosen One untuk meraikan pemilihan Moyes oleh Ferguson telah ditanggalkan.

Selain itu, mesej yang diperde­ngarkan kepada para peminat di peng­hujung lawatan ke stadium itu, yang sebelumnya menampilkan suara Moyes sejak dia dilantik pada musim panas lalu, telah segera digantikan dengan ucapan pengurus sementara, Ryan Giggs. - AGENSI
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.