

Steven Gerrard merupakan seorang pemain yang sentiasa bercita-cita tinggi.
Jumaat lalu, perancang berusia 29 tahun itu dinobatkan selaku Pemain Terbaik England 2008/2009 oleh Persatuan Penulis-Penulis Bola Sepak, sekali gus mengatasi dua bintang Manchester United, Ryan Giggs dan Wayne Rooney.
Gerrard telah menyumbang 24 gol, 16 daripadanya dalam kempen Liga Perdana England musim ini.
Biarpun Liverpool gagal muncul juara liga domestik, Gerrard tetap berazam untuk bekerja keras bagi merealisasikan impian skuad The Reds muncul juara Liga Perdana England.
"Semua pengurus di Liverpool dan di England sentiasa memberi semangat kepada saya, cuba membantu saya memperbaiki prestasi sebagai seorang pemain.
"Saya sudah berusia 29 tahun tetapi saya rasa masih mampu melakukannya dengan lebih baik.
"Saya masih lagi belajar banyak perkara dalam latihan, berusaha memperbaiki kelemahan dan masih laparkan kejayaan dan impian yang besar.
"Secara peribadi, masih banyak yang saya perlu capai buat Liverpool dan juga England. Jadi diharapkan tahun depan akan memberi banyak trofi kepada saya," kata Gerrard.
Gerrard menambah: "Anugerah ini adalah hasil sokongan dan bantuan daripada keluarga, isteri, rakan-rakan dan juga pasukan saya. Begitu juga dengan pengurus, Rafael Benitez yang terus mempercayai saya.
"Kami begitu hampir mencipta kejutan tahun ini.
"Kini saya percaya kami sedang menunjukkan kemajuan dan mampu untuk memberi saingan dalam merebut kejuaraan-kejuaraan utama," katanya. - Agensi