Sejarah PIALA Malaysia sepanjang 100 tahun

Picture
PIALA Malaysia yang memasuki tahun ke-100. FOTO Arkib NSTP

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)
Picture
Sepak mula Piala Malaysia hari ini, bangkitkan kembali nostalgia 100 tahun bola sepak negara

KUALA LUMPUR, 25 Sept -- Pejam celik pejam celik, Piala Malaysia yang merupakan kejohanan bola sepak terunggul dan dinanti ramai peminat di negara ini menyambut ulang tahun ke-100 penganjurannya tahun ini, dengan sepak mula saingan musim 2021 bermula esok.

Menyingkap sejarahnya, Piala Malaysia yang bermula dengan Piala Malaya mula dipertandingkan pada awal 1920-an melibatkan negeri-negeri di Tanah Melayu, menyaksikan Singapura muncul juara edisi pertama pada 1921 selepas menewaskan Selangor 2-1.


Pada tahun 1933, Piala Malaya ditukar nama kepada Piala HMS Malaya sempena nama kapal perang British HMS Malaya sebelum pada 1967 trofi kejuaraan tersebut digantikan dengan yang baharu iaitu Piala Malaysia sehingga ke hari ini.

Pelbagai kisah di sebalik penganjuran Piala Malaysia yang juga antara kejohanan tertua di rantau Asia, antaranya Perang Dunia Kedua memaksa kejohanan itu dihentikan dari 1942 hingga 1947 dan disambung semula pada 1948, selain pandemik COVID-19 turut memaksa kejohanan itu dibatalkan tahun lepas.

Selangor menjadi pasukan paling berjaya dalam sejarah penganjuran Piala Malaysia dengan rekod juara sebanyak 33 kali jauh meninggalkan Singapura (24 kali), Perak (lapan kali) dan Kedah sebanyak lima kali.

Pasukan Perak menjadi pasukan pertama menjulang Piala Malaysia di Stadium Merdeka pada 1957 apabila buat julung kalinya perlawanan akhir diadakan di venue itu selepas semua pertembungan final terdahulu berlangsung  di Padang Kelab Selangor yang kini merupakan Dataran Merdeka.

Jaguh badminton negara era 60-an Datuk Ng Boon Bee pernah meledak 10 gol untuk muncul penjaring terbanyak edisi 1959 bersama pasukan Perak sebelum akhirnya memilih sukan badminton dan membantu Malaysia menjulang Piala Thomas pada 1967.

Pada 1964, Piala Malaysia mencipta satu lagi sejarah terpenting apabila buat kali pertama ia disiarkan secara langsung di televisyen dengan perlawanan akhir dimenangi Singapura sekali gus meraih kejuaraan ke-20 selepas mengatasi Perak 3-2 menerusi dua jaringan pada dua minit terakhir.

Kuala Lumpur menjadi pasukan terakhir mencipta kejuaraan hatrik pada 1987, 1988 dan 1989 dengan menewaskan lawan sama di ketiga-tiga final iaitu Kedah, selain Singapura dan Selangor turut berada dalam senarai pasukan yang berjaya mempertahankan gelaran juara selama tiga tahun berturut-turut.


Pada 1994, Singapura membuat kemunculan terakhir dalam kempen Piala Malaysia dan berjaya menjuarai kejohanan berprestij itu sekali gus mengumpul gelaran juara sebanyak 24 kali, termasuk dua gelaran bersama yang dikongsi bersama Selangor pada 1928 dan 1929.

Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai kapasiti melebihi 87,000 tempat duduk penonton julung kali digunakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia adalah pada edisi 1998 yang menyaksikan Perak muncul juara buat kali keenam selepas menewaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti.

Pada 1999, buat kali pertama dua pasukan dari Kepulauan Borneo beraksi pada perlawanan akhir  dengan Brunei merangkul gelaran pertama selepas menewaskan Sarawak 2-1 di Stadium Merdeka yang juga perlawanan final Piala Malaysia terakhir diadakan di venue tersebut.

Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan Dollah Salleh menjadi pasukan berstatus kelab pertama yang memenangi Piala Malaysia pada 2003.

Aura Piala Malaysia yang cukup dekat dalam jiwa setiap peminat bola sepak tempatan tidak dapat dinafikan.

Ia dibuktikan apabila kira-kira 10,000 penyokong The Red Warriors dilaporkan membanjiri Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, bagi menyambut ketibaan Piala Malaysia selepas Kelantan mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-2 di final sekali gus meraih gelaran kedua dalam tempoh tiga musim.

Pada edisi 2013, Pahang berjaya menamatkan penantian selama 21 tahun menjulang Piala Malaysia apabila mengalahkan juara bertahan Kelantan 1-0 di final dan mempertahankan kejuaraan musim berikutnya sebelum Selangor melengkapkan 'Misi 33' pada 2015 selepas menewaskan Kedah 2-0 pada aksi final.

Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan terakhir menjuarai Piala Malaysia pada 2019 sebelum kejohanan itu menerima tamparan apabila saingan yang telah berlangsung terpaksa dibatalkan pada November tahun lalu susulan ancaman pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, ulang tahun ke-100 Piala Malaysia pastinya menyaksikan setiap individu yang mempunyai rasa cinta terhadap sukan itu ingin melihat kejohanan berprestij berkenaan berjaya dilangsungkan meskipun ketika ini ia terpaksa dijalankan tanpa kehadiran penonton ke stadium.


Dengan Piala Malaysia 2021 kekal menawarkan slot ke kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan, setiap pasukan yang memasang impian beraksi di Asia sudah tentu tidak ingin melepaskan peluang keemasan tersebut sekali gus menjadikan saingan musim ini lebih sengit dan menarik.

Mengekalkan format sama iaitu penyertaan 11 pasukan Liga Super dan lima pasukan dari Liga Premier yang dibahagikan kepada empat kumpulan, Penang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC menjadi pasukan pilihan dalam Kumpulan A yang turut dibarisi Sri Pahang FC dan Sarawak United FC.

Kumpulan B pula dianggap kumpulan maut apabila menghimpunkan tiga nama besar dalam kempen Piala Malaysia iaitu Terengganu FC, Selangor FC, Perak FC dan Kuching City FC manakala Kumpulan C bakal dihangatkan Kedah Darul Aman FC, Melaka United FC, Negeri Sembilan FC dan Kelantan United FC.

Sementara itu, JDT akan dicabar Petaling Jaya City FC, Sabah FC dan Kelantan FC dalam saingan Kumpulan D. Kempen Piala Malaysia bermula dengan saingan peringkat kumpulan yang dijadual berlangsung esok sehingga 10 Nov dan dijalankan secara timbal balik termasuk aksi suku akhir dan separuh akhir sementara final hanya melibatkan satu perlawanan.

Sejarah PIALA Malaysia sepanjang 100 tahun

Apabila pertandingan bola sepak Piala Malaysia bermula 25 September 2021 ini, ia adalah tahun ke-101 bagi pertandingan yang dianggap terawal di Asia ini. Tarikh 1 Okober 1921 pula adalah tarikh bersejarah bagi bola sepak negara kerana tarikh inilah perlawanan akhir pertama Piala Malaya diadakan.

Pertandingan Piala Malaya mempunyai sejarah dan keistimewaan, sehingga kekal ke hari ini dan menarik minat rakyat pelbagai kaum dengan pasukan membariskan pemain pelbagai kaum ia menyemarakkan semangat perpaduan.

Pertandingan ini berpunca daripada tindakan beberapa pegawai dan kelasi kapal HMS Malaya yang bermain bola sesama mereka dan kemudian dengan penduduk tempatan.

Pada 1920 mereka menghadiahkan piala rebutan, Piala Malaya, untuk pertandingan antara negeri. Urusan penganjuran diserahkan kepada Kelab Selangor dan Persatuan Bola Sepak Amatur Selangor.

Enam pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan pertama, terdiri daripada Selangor, Perak, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembian dan Singapura. Perlawanan Piala Malaya pertama adalah di antara Selangor dan Pulau Pinang, di padang Jalan Ampang (tapak Menara Berkembar Petronas sekarang) yang disaksikan hampir 3,000 penonton. Selangor menang 5-1 dalam perlawanan yang berlangsung sejam.

Selangor dan Singapura selaku juara Kumpulan Utara dan Selatan bertemu dalam perlawanan akhir 1921, di padang Kelab Selangor dan dimenangi Singapura 2-1. Perlawanan itu menarik lebih 3,000 penonton.

Kelab Selangor dan Persatuan Bola Sepak Amatur Selangor terus menganjurkan pertandingan ini hingga 1932, sebelum diambil alih oleh Persatuan Bola Sepak Malaya (FAM) yang baru ditubuhkan. Jumlah pasukan meningkat, dengan kemasukan Pahang, Terengganu, Kedah, Kelantan dan Joint Services Singapura.

Pertandingan ini ditiadakan dari 1942 hingga 1947 akibat Perang Dunia Ke-2. Apabila pertandingan disambung pada 1948, semua negeri mengambil bahagian, berserta Pasukan Joint Services, Pasukan Tentera Komanwel (Singapura) dan Angkatan Tentera Malaya. Format pertandingan berubah dari semasa ke semasa.

Pada 1957 apabila terbinanya Stadium Merdeka, semua perlawanan akhir diadakan di stadium ini. Perlawanan akhir berpindah pula sama ada ke Stadium Shah Alam atau Stadium Nasional Bukit Jalil. Kedua-dua stadium ini mempunyai kapasiti lebih 82,000 orang dan yang terbesar di Asia.

Pada 1967, Piala HMS Malaya digantikan dengan Piala Malaysia dan dengan itu berakhirlah hayat Piala Malaya. Pada 1979, apabila FAM memulakan Liga Kebangsaan, Sabah, Sarawak, Wilayah Persekutuan dan Brunei mula mengambil bahagian. Ini menjadikan jumlah pasukan dalam Liga ini kepada 17. Kemudian FAM menaikkan jumlah pasukan kepada lapan, dan seterusnya kepada 12 dan 16 pasukan untuk Piala Malaysia.

Pada 1976, Pahang menarik diri kerana membantah penyertaan Singapura. Bagaimanapun, pada tahun berikutnya Pahang kembali atas permintaan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah yang juga Yang Dipertua Persatuan Bola Sepak Pahang dan Presiden FAM ketika itu. Pada 1982, Johor pula tidak puas hati terhadap Singapura, menyebabkan Singapura tersingkir.

Selepas lima tahun, 1988 FAM menerima kembali Singapura dalam Liga Malaysia dan Piala Malaysia. Namun, pada 1995 Persatuan Bola Sepak Singapura menghadapi masalah dengan FAM dan akhirnya menarik diri.

Apabila FAM memulakan bola sepak separuh profesional 1979, dan kemudian profesional, berjaya mengubah suasana dan minat orang ramai terhadap sukan ini. Setiap kali perlawanan akhir Piala Malaysia, stadium yang berkapasiti lebih 82,000 orang penuh sesak, walaupun disiarkan secara langsung di TV.

Dari segi pemenang, sejak Piala Malaya bermula pada 1921, hingga 1966 hanya lima pasukan yang menjuarainya. Bagaimanapun, selepas bermulanya Piala Malaysia pada 1967, sehingga 2019 hampir semua pasukan negeri pernah sekali atau lebih memenangi Piala Malaysia, termasuk Brunei. Melaka, Sarawak dan Sabah belum mencatat nama pada piala itu.

Selangor pasukan yang paling banyak menjuarai Piala Malaysia, iaitu 33 kali, manakala Singapura 24 kali. Tahun 2001 MPPJ FC menjadi pasukan bertaraf kelab pertama muncul juara Piala Malaysia. Perak menjadi pasukan pertama memenangi Piala Malaysia pada tahun 1967.

Pasukan lain turut menjuarai Piala Malaysia, misalnya Pahang muncul juara 1983 setelah menewaskan Selangor, tetapi Selangor menang tahun berikutnya. Johor memenanginya buat kali pertama pada 1985 dengan menewaskan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur menjuarai Piala Malaysia tiga tahun berturut-turut iaitu 1987, 1988 dan 1989 dengan menewaskan lawan yang sama, Kedah. Namun, Kedah berjaya merangkul piala itu setahun kemudian menewaskan Singapura 3-1 pada 1990.

Johor menewaskan Selangor pada 1991 selepas tewas tahun 1986. Pahang juara 1987 setelah menafikan Kedah untuk menjuarai kali kedua. Selangor memenangi tiga t1hun berturut-turut iaitu 1995, 1996 dan 1997.

Pada 1998, perlawanan akhir diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai 82,000 kapasiti dan Perak pasukan pertama memenangi piala itu di stadium baru ini menewaskan Terengganu.

Kedah pula mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi ketiga-tiga piala untuk dua musim berturut-turut. Mereka merangkul Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada 2007 dan 2008.


Negeri Sembilan menang tahun 2009 dan 2011, manakala Kelantan menjuarai kali pertama tahun 2010 dan diulangi pada 2012. Kelantan juga memenangi Piala FA dan Piala Liga Super pada tahun itu, dan menjadi pasukan ketiga meraih tiga piala dalam semusim, selepas Selangor (2005) dan Kedah (2007 & 2008).

Menerusi Piala Malaysia dapat membantu persatuan negeri membentuk dan meningkatkan mutu pasukan. Peminat menanti musim Piala Malaysia, untuk memberi sokongan kepada pasukan mereka.

Sebagai pertandingan bola sepak terawal di Asia, ia kekal dengan sejarah dan keistimewaan. Inilah Piala Malaysia yang memasuki tahun ke-100.

SOURCE: Penulis ialah penganalisis sukan Harian Metro

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.