SABAH RHINOS BERGAYA BANGKIT DAN MENANG MENENTANG DRB HICOM FC

PEMAIN Sabah, El Hadji Diouf (kiri) cuba melepasi kawalan pemain DRB-Hicom, Godwin Antwi Birago (tengah) dalam perlawanan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)



Sabah 3 - 2 DRB-Hicom

SABAH Rhinos bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk membenam DRB-Hicom 3-2 di Stadium Likas, malam tadi, sekali gus mencatat kemenangan kedua dalam dua perlawanan Liga Perdana 2015, setakat ini.

Skuad bimbingan Justin Ganai dikejutkan dengan gol pendahuluan pelawat di minit kedua menerusi Ivan Babic yang menanduk bola masuk ke gawang hasil satu sepakan percuma di luar kotak penalti Sabah.

Bagaimanapun, bintang baharu Sabah Rhinos yang juga ketua pasukan, El Hadji Diouf berjaya menyamakan kedudukan di minit ke-18 apabila mudah menolak masuk bola ke dalam gol DRB-Hicom selepas satu keadaan kelam kabut di depan pintu gol lawan.

Pasukan pelawat kemudian kembali mendahului pada minit ke-21 selepas tampanan bola pertahanan import Sabah, Abdoulaye Faye masuk ke gawang sendiri dan kedudukan 1-2 itu kekal sehingga wisel tamat separuh masa pertama dibunyikan.

Bermula babak kedua, Sabah Rhinos lebih garang mengatur serangan namun gagal menterjemahkannya sebagai jaringan, sama ada tersasar atau diselematkan penjaga gol DRB-Hicom.

Beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penyokong, para pemain Sabah Rhinos seakan-akan mendapat tonik baharu apabila berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit iaitu pada minit ke-70 dan 74.

Gol penyamaan Sabah dijaringkan bekas ketua pasukan Harimau Muda B, Azzizan Nordin yang merembat bola masuk ke gawang selepas satu gerakan menarik dari luar ke dalam kotak penalti lawan.

Sabah Rhinos kemudian melengkapkan kemenangan bergaya 3-2, empat minit kemudian apabila sepakan percuma Shafuan Adli dari luar kotak penalti terus menerjah jaring selepas terkena pemain lawan.

Dengan kemenangan itu, Sabah kini berada di kedudukan ketiga liga dengan enam mata, sama mata dengan dua lagi pasukan di atas iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) II.

Sabah akan meneruskan perlawanan menentang UiTM FC 20 Januari depan di Stadium Shah Alam.

**Kredit Foto LANO LAN**

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.