TANGGUNGJAWAB seseorang pengadil adalah untuk memastikan setiap perlawanan berjalan dengan baik.
'HAKIM' di tengah padang. Itu peranan paling tepat untuk pengadil bola sepak.
Tanpa kelibat individu yang cukup sinonim dengan jersi serba hitam itu, maka tidak lengkap perjalanan sesatu perlawanan.
Selain perhatian diberikan kepada 22 pemain yang beraksi di tengah padang, kelibat pengadil juga turut menjadi tumpuan, baik di kalangan pemain mahupun penonton.
Bagaimanapun, di kalangan pengamal sukan bola sepak, pengadil kurang mendapat penghargaan atau pengiktirafan sekalipun mereka berjaya mengendalikan sesatu perlawanan itu dengan baik.
Sebaliknya, pengadil lebih banyak dibelenggu kontroversi khususnya jika perlawanan yang diadili mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan pemain mahupun penyokong.
Kata-kata sinis yang dilemparkan seperti pengadil makan rasuah, pengadil berat sebelah serta penga- dil bodoh, sudah menjadi asam garam buat mereka termasuk peno- long pengadil di negara ini.
Mahu tidak mahu, mereka harus 'menelan' segala cercaan tersebut walaupun ia agak pahit untuk ditelan.
Timbul persoalan, apakah sebenarnya yang menyebabkan pengadil bola sepak di negara ini menjadi mangsa kecaman serta kritikan dari- pada pihak tertentu?
Jika jawapannya mutu pengadilan semakin merosot, adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berbuat sesuatu untuk memulihkan semula integriti barisan pengadil di negara ini?
Namun, paling mengejutkan apabila mendengar dakwaan sese- tengah pihak yang mengatakan bahawa pengadil Malaysia sudah tidak profesional lagi?
"Tidak adil jika kita katakan pengadil yang ada di Malaysia seka- rang sudah tidak profesional. Jangan kita terlalu sempitkan pemikiran dengan dakwaan-dakwaan seperti ini.
"Pada pandangan saya, pengadil kita masih dipandang tinggi di mata dunia. Disebabkan itu, FAM menerusi Jabatan Pengadil harus menjaga taraf pengadil di Malaysia dengan penuh profesional.
"Itu semua amat penting bagi mengelakkan pengadil Malaysia dianggap sebagai 'kelas kedua' oleh pihak luar," jelas bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibra- him Saad kepada Kosmo! baru-baru ini.
Tambah Ibrahim, selaku badan induk bola sepak di negara ini, FAM seharusnya lebih giat memantau prestasi pengadil bagi menjamin mutu pengadilan yang mampu memuaskan hati semua pihak.
"Memang agak sukar untuk kita memuaskan hati semua orang. Jadi, pengadil memainkan peranan yang cukup penting dalam hal ini.
"Sebagai seorang pengadil yang telah diberi amanah dan tanggungjawab mengadili sesuatu perlawanan, dia harus meletakkan tugasnya di tengah padang sebagai satu keutamaan.
"Saya akui, kadang-kadang pengadil juga membuat kesilapan tetapi jika kesilapan yang sama berulang, sudah pasti ini akan mencetuskan rasa tidak puas hati kepada pihak-pihak tertentu," jelasnya.
Menurut bekas Naib Presiden FAM itu lagi, pengadil yang wajar diberi Gred A ialah pengadil yang mampu mengawal situasi perlawanan dengan baik termasuk emosi setiap pemain.
"Harus diingat bahawa pengadil perlu membuat keputusan dengan pantas dan bijak apabila sesatu insiden itu berlaku. Maka, kebijak- sanaan pengadil mengawal situasi di padang amat penting.
"Sekiranya pengadil dapat melakukan tugasnya dengan baik, saya percaya dan yakin perlawanan yang diadili mereka itu akan memberi kepuasan kepada semua pihak," jelas Ibrahim.
Antara individu yang lantang menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap mutu pengadilan di Malaysia ialah bekas pengurus pasukan Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi.
Sepanjang penglibatannya dalam kancah bola sepak tanah air, Jamal Nasir yang juga bekas Naib Presiden FAM pernah dikenakan hukuman oleh badan induk bola sepak negara itu sebanyak dua kali.
Kali pertama, apabila beliau tidak dibenarkan berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan akhir Piala Malaysia musim 2001 ketika Perak menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Kali keduanya, Jamal Nasir dikenakan hukuman lebih berat apabila digantung setahun daripada terlibat dengan sebarang pengurusan skuad Perak pada tahun 2005.
"Semua hukuman yang saya terima gara-gara mengkritik keputu- san pengadil.
"Kebiasaannya, saya tidak suka mempertikai keputusan pengadil tetapi apabila kesilapan yang dibuat seperti disengajakan, sudah tentu ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati.
"Kelemahan yang berulang- ulang yang dilakukan pengadil, itu yang sangat sukar untuk diterima. Antara kelemahan pengadil yang saya dapat lihat ialah membuat keputusan tidak tepat.
"Kedua, membuat keputusan berat sebelah dan ketiganya, cuai ketika mengadili sesatu perlawanan," ujarnya lagi.
Bagi mengelakkan kredibiliti pengadil terus dipersoal, Jamal Nasir berkata, satu jawatankuasa bebas harus ditubuhkan untuk memantau prestasi mereka.
"Bagi memastikan pengadil kita benar-benar berkualiti, FAM harus melantik dua atau tiga panel bebas untuk membuat penilaian.
"Ini penting supaya pengadil kita benar-benar telus dalam menjalankan tanggungjawab mereka, sekali gus mampu mengangkat kembali martabat pengadil di Malaysia.
"Kita tidak mahu seolah-olah orang luar anggap ada imuniti terhadap pengadil.
"Jika nama pegawai atau pemain yang dikenakan hukuman oleh FAM didedahkan, kita juga harap FAM mendedahkan nama pengadil yang telah dijatuhkan hukuman akibat kesalahan mereka," tegas Jamal Nasir.
Jika diimbas kembali, Malaysia masih boleh berbangga kerana memiliki barisan pengadil berkualiti sehingga diberi kepercayaan mengadili perlawanan bertaraf antarabangsa sebelum ini.
Nama-nama seperti Mohd. Nazri Abdullah (Allahyarham), George Joseph, Nik Ahmad Yaakob, Kapten Halim Abdul Hamid, Mat Lazim Awang Hamat serta Subkhid- din Mohd. Salleh.
Sebagai contoh, George Joseph telah diberi amanah mengadili perlawanan pada kempen Piala Dunia Belia 1979 di Tokyo. Ketika itu, antara nama besar yang beraksi termasuklah legenda Argentina, Diego Maradona.
Pada kempen Piala Dunia 1998 di Perancis, Halim mencipta sejarah tersendiri apabila dipilih sebagai penolong pengadil. Empat tahun kemudian, Mat Lazim mengikut jejak langkah Halim pada Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea Selatan.
Sekalipun tidak dapat 'beraksi' di pentas Piala Dunia, Nazri masih boleh berbangga apabila diberi kepercayaan mengadili perlawanan pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney, Australia.
Subkhiddin pula meneruskan legasi kehebatan pengadil tempatan apabila diberi penghormatan mengadili perlawanan pada temasya Olimpik 2006 di Athens, Greece.
"Sejak kebelakangan ini, hanya nama Subkhiddin sahaja yang menjadi sebutan pengamal bola sepak tanah air. Selepas era Allahyarham Nazri, Nik Ahmad Yaakob, Kapten Halim mahupun Mat Lazim, kehebatan pengadil Malaysia seakan-akan sudah tenggelam.
"Jika situasi ini dibiarkan berterusan, maka tidak mustatil suatu hari nanti, pengadil yang ada di negara ini tidak mampu pergi jauh.
"Secara tidak langsung, mereka mungkin agak sukar untuk diberi kepercayaan mengadili perlawanan bertaraf antarabangsa," jelas bekas wartawan sukan berpengalaman, Rizal Hashim yang kini menjadi penulis bebas.
Rizal berkata, bagi memastikan Malaysia terus dapat melahir- kan pengadil berkualiti sehingga mampu diangkat ke pentas antarabangsa, pelaksanaan pada peringkat akar umbi harus diutamakan.
Jelasnya, menerusi program ceramah yang dianjurkan di peringkat sekolah, secara tidak langsung ia dapat menerbitkan keinginan pelajar untuk mendalami ilmu yang masih dianggap baru bagi mereka.
"Sebenarnya, ada cabang- cabang kerjaya berkaitan bola sepak. Kebiasaannya, kita hanya mendengar cita-cita seseorang pelajar itu yang mahu menjadi pemain bola sepak profesional.
"Tetapi kita jangan lupa bahawa pengadil juga merupakan satu cabang kerjaya dalam bola sepak.
"Dari sinilah kita harus meningkatkan kesedaran kepada para pelajar. Bagaimanapun, semua ini harus ada minat daripada pelajar itu sendiri," kata Rizal.
Beliau menambah: "Kita tidak boleh menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab untuk melahirkan pengadil berkualiti kepada FAM semata- mata. Kita harus bermula di peringkat sekolah lagi dan kemudiannya diperluaskan di peringkat daerah dan negeri.
"Semuanya harus bermula pada peringkat awal. Sebagai contoh, Allahyarham Nazri mula terlibat sebagai pengadil ketika beliau berusia 17 tahun lagi. Walaupun sudah tiada, namanya masih menjadi sebu- tan peminat bola sepak tempatan hingga ke hari ini.
"Bukan semua boleh jadi pengadil yang hebat, boleh wakil Malaysia. Tidak ramai pengadil Malaysia yang saya lihat sekarang mampu sekurang-kurangnya menyamai pencapaian Allahyarham Nazri," katanya.
Tanpa mahu menuding jari kepada mana-mana pihak, Rizal berkata, bagi melahirkan masyarakat pengadil yang adil serta berwibawa, jabatan pengadil FAM harus dikenda- likan secara telus dan profe- sional.
"Di peringkat FAM pula, kalau mahu pilih pengadil, pilihlah berdasarkan merit dan bukannya atas dasar pilih kasih.
"Sebelum ini juga kita sudah dengar beberapa dakwaan yang mengatakan FAM memilih pengadil dari negeri- negeri yang sama. Sepatutnya hal ini tidak boleh berlaku kerana ia akan mewujudkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak," tegasnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin mengakui, badan induk itu kekurangan pengadil bagi mengendalikan saingan Liga Malaysia (Liga M) sehingga menjejaskan kualiti pengadilan.
Namun tegas beliau, perkara itu bukanlah alasan untuk mengatakan bahawa pengadil yang diberi mandat oleh FAM tidak berkualiti.
"Bukan setakat jurulatih, malah pengadil yang melakukan kesalahan dalam sesatu perlawanan juga akan dikena- kan hukuman oleh FAM.
"FAM akan mengumpul bukti dengan tayangan semula sesatu perlawanan sebelum menghukum jurulatih mahupun pengadil," katanya.
Bagi pengadil yang bijak, sepuluh minit pertama adalah masa yang sangat penting buat seseorang pengadil.
Jika dia (pengadil) mampu mengawal permainan pada sepuluh minit pertama, maka perlawanan itu akan berjalan dengan lancar.
Pengadil yang hebat selalu- nya mengutamakan tempoh tersebut.
Itu pengakuan terbuka bekas pengadil bola sepak negara yang enggan namanya disiarkan atas alasan pengadil tidak seharusnya mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media.
Bekas pengadil FIFA itu yang sudah bersara sejak beberapa tahun lalu, tetap menganggap bahawa Malaysia masih mempunyai pengadil yang hebat.
Menurutnya, kesilapan itu pasti berlaku tetapi perlu bijak mengawal keadaan.
"Memang saya akui kegaga- lan seseorang pengadil itu mengawal situasi boleh mencetuskan kemarahan semua orang dan ini sudah banyak berlaku. Sekarang ini pun saya ada juga nampak kelemahan pengadil kita dalam mengendalikan sesatu perlawanan tetapi ada di kalangan mereka bijak menutup kesila- pan," katanya.
Apa juga tanggapan serta dakwaan terhadap barisan pengadil tempatan yang ada ketika ini, legasi yang pernah dilakar sejak era Allahyarham Nazri harus diteruskan.
Peminat bola sepak tempatan akan tetap rasa gembira andai ada pengadil tempatan yang diberi tanggungjawab serta kepercayaan mengadili perlawanan pada kejohanan paling berprestij - Piala Dunia.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
Tags