

Semalam, pemilik Manchester City dari negara Arab yang kini ghairah mahu memburu trofi utama memberi angka pelaburan besar iaitu £250 juta (kira-kira RM2 bilion) kepada pengurus kelab, Mark Hughes untuk mendapatkan tiga bintang Kaka (AC Milan) dan Thierry Henry, Samuel Eto'o (Barcelona) bagi menguatkan cabaran musim depan.
Kecenderungan City mendapatkan khidmat Eto'o disahkan, minggu lalu yang turut mengaitkan rakan sepasukannya, Henry untuk kembali semula ke aksi Liga Perdana Inggeris selepas mewakili Arsenal.
Kelab terkaya di England juga belum putus asa untuk memancing Kaka dari AC Milan ketika pemain Brazil itu turut menjadi sasaran Real Madrid.

Sementara itu, Chelsea yang bakal dipimpin pengurus baru, Carlo Ancelotti juga akan memantapkan jentera serangan mereka apabila mengaitkan pembelian bintang dari Atletico Madrid, Sergio Aguero dengan nilai £50 (RM300 juta).

Chelsea turut percaya mereka sudah mengatasi Inter Milan dan bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho dalam buruan mendapatkan Aguero, bintang dari Argentina yang dikatakan menjadi tumpuan dunia bola sepak ketika ini.
